Wednesday, December 30, 2009

Assalamu'alaikum.

AlhamduliLlah, setelah kejayaan Ops Sayangi Remaja sempena tahun baru 3 tahun berturut-turut, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) Pulau Pinang sekali lagi menganjurkan Ops Sayangi Remaja 2010 di sekitar tempat terpilih di Pulau Pinang.

Maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh: 31 Disember 2009 (Khamis)

Tempat: Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang

Masa: 6.40 petang

Diharap kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama menyertai program ini datang awal dan mendaftar. Peserta-peserta juga diamanahkan untuk membetulkan niat sebelum menyertai program ini dengan meletakkan tujuan berdakwah kerana Allah SWT semata-mata.

Sila hebahkan program ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Nurfitri Amir (013-7069509) atau Azwaahidah (019-4553985). Harap maklum.

* Pendaftaran adalah WAJIB untuk penyertaan Ops Sayangi Remaja kali ini. Kaunter pendaftaran akan dibuka di Masjid Kubang Buaya pada jam 6.30 petang hingga 9.00 malam sahaja.

Saturday, December 12, 2009

-JAMBORI 2009-

Assalamualaikum w.b.t.

NISA' PULAU PINANG akan mengadakan JAMBORI 2009 seperti maklumat di bawah:


Objektif:

  1. Membina jati diri insan yang berkualiti.
  2. Menanamkan minat dan kecintaan pada kegiatan berorganisasi.
  3. Mengasah ciri-ciri kepimpinan dalam setiap individu.
  4. Memperkenalkan cara hidup Islam dan mendidik akhlak Islamiyah dalam diri remaja.

Tarikh : 18-20 Disember 09

Tempat : Kem PLKN Bukit Besar, Kulim, Kedah

Peserta : Remaja perempuan 15-25 tahun

Yuran : RM 60.00


Antara aktiviti menarik :

Ceramah, Solat Berjemaah, Aktiviti Berkumpulan, Seni Mempertahankan Diri, Aktiviti Berkayak dan Abseiling


(Sijil dan t-shirt akan disediakan)


Saya ingin menyeru sahabat-sahabat warga Penang untuk menggalakkan adik-adik atau saudara mara untuk menyertai program ini.

Semoga program sebegini dapat menambahkan lagi kefahaman Islam dalam diri mereka dan ke arah mendidik mereka mencintai ilmu.

Semoga dengan ilmu yang mereka perolehi dapat menyelamatkan mereka dari terjebak dengan masalah remaja di luar dan membantu mereka menjadi individu muslim yang lebih baik dalam setiap aspek kehidupan. Insya-Allah.

Jika anda ingin memberi sumbangan kewangan untuk program ini, boleh berbuat demikian melalui AJK Nisa' Kawasan atau menyalurkan sumbangan melalui Bank Islam atas nama Mazlina Bt Jamaludin dan Rafidah Bt Abd Razak (07052010003860).


Kerjasama daripada anda semua, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Semoga usaha kecil kita ini, mendapat nilaian disisi Allah.

"Nisa' Penghubung Generasi Muda"

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran boleh hubungi:

NOORUL AIN 019-5255652
MAZLINA 019-4576043
TUAN AZURA 013-4802012 (BAYAN BARU)

Monday, November 9, 2009

- Al-Quran & Kejayaan -




Pada 19 Zulkaedah 1430H bersamaan 7 November baru2 ini, suatu majlis ilmu telah diadakan di Surau an-Nur Lebuh Nipah yang telah disampaikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin. Antara perkara yang dapat dipelajari adalah mengenai satu formula untuk mencapai kejayaan iaitu Formula 'IT' di mana ' I ' = ilmu dan ' T '= taqwa.

Formula ' I ' :

(1) Ilmu perlu dilaksanakan dengan sebenar2nya
(2) Niat semata2 adalah belum mencukupi
(3) Niat akan terpesong tanpa ilmu pengetahuan
(4) Pembacaan adalah teras penting kejayaan
(5) Masa yang diperuntukkan untuk ilmu banyak sebenarnya
(6) Ilmu sangat penting dalam kehidupan

Ilmu perlu dilaksanakan dengan seikhlas2nya dan berterusan. Tanpa ilmu segala2nya menjadi sangat payah. Jika kita sekadar berniat tanpa ilmu dalam melakukan sebarang kebaikan, maka hal ini akan memberi kesan yang dapat mencacatkan kemuliaan niat tersebut. Misalnya, cerita yang dikongsikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin iaitu semasa beliau berada di Mesir. Pengetahuan beliau sangat cetek tentang ilmu fekah dan ilmu tasawwuf. Beliau pernah menunaikan solat jemaah bersama dengan seorang imam di sana. Ketika itu, terdapat 4 orang yang berjemaah. Pada rakaat kedua, imam tersebut terlupa mengerjakan tahiyyat awal dan terus bangun untuk rakaat ketiga. Di saat itu, Dr. Danial Zainal Abidin masih tidak tahu tentang hukum serta apa yang perlu dilakukan. Hal ini jelas menunjukkan kepentingan ilmu. Dalam peristiwa yang berlaku di atas, perkara yang patut dilakukan ialah dengan menegur imam tersebut dengan mengatakan "Subhanallah".

Pembacaan yang berterusan dan berulang2 kali dapat menyenangkan daya fikiran untuk menghafaz ilmu2 terutamanya pada subjek yang memerlukan fatwa dan kesahihan yang benar. Pembacaan yang berterusan dapat menguatkan daya ingatan. Walaupun hanya sekadar sekilas lalu membaca pun, ianya mampu memanfaatkan kita.

Sedarlah! Masa adalah tidak terhad sebenarnya. Menurut Dr. Danial Zainal Abidin lagi, masa yang diperuntukkan untuk kita membaca atau menimba ilmu adalah sangat tidak terbatas. Permulaan hingga akhir hanyat adalah bermula dan berakhir dengan ilmu. Ilmu dapat dimanfaatkan dalam masa2 yang banyak terbuang. Sebagai tholibun 'ilmi, kita akan merasai keletihan semasa belajar. Oleh itu, pengamalan hidup yang sihat tidak harus diabaikan bagi menjamin kesihatan dan di sinilah konsep ilmu dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan. Antara aktiviti yang dapat dikaitkan dengan rehat termasuklah solat dan riadah. Sesungguhnya, masa tidak akan ke mana, kita sahajalah yang perlu mengejar dan memanfaatkan masa dengan sebaik2nya.

Ilmu sangat penting dalam arus perubahan dunia kini di mana pada zaman sekarang penuh dengan pancaroba seperti gejala sosial yang kian parah dalam kalangan remaja dan belia. Bagi melindungi diri daripada wabak2 kebathilan ini, kita seharusnya bersaing dan beriltizam bersungguh2 bagi mencapai matlamat hidup yang murni serta menjadi pembela agama Allah SWT yang sebelum ini pernah menguasai sehingga 2/3 dunia.

Kenapa ilmu penting?
  • Untuk mengenali Dzat Pencipta
  • Untuk membezakan yang halal dari yang haram
  • Untuk mengenal pasti apa2 yang sah, batal serta keutamaan dan akhirnya,
  • Untuk menonjolkan betapa indahnya Islam yang tiada pada mana2 agama lain di dunia!
Ilmu penting bagi menjawab pelbagai persoalan dan pertanyaan yang sememangnya menjadi lumrah manusia. Ilmu dapat mensahihkan sifat ketuhanan dan menamatkan pertanyaan yang sering membelenggu fikiran manusia. Antara kupasannya ialah Jesus atau al-Masih dapat dibezakan dengan konsep ketuhanan iaitu penjelmaan tuhan dalam bentuk yang hina atau an-nas. Hal ini bertentangan dengan konsep sifat wajib 20 untuk calon 'Tuhan'. Tuhan perlulah Esa yakni satu tanpa ada mana2 sokongan/ sekutu. Tuhan tidak beranak atau diperanakkan. Tambahan daripada Penceramah Haluan dalam satu taman daripada taman2 syurga yang ana sertai ada menyentuh tentang Nabi Isa a.s. yang disalib. Fikirkan, seorang 'Tuhan' disalib oleh makhluknya sendiri? Hal ini menonjolkan betapa lemahnya 'Tuhan'. Kenapa tidak sahaja Nabi Isa a.s menterbalikkan bumi dan menurunkan bala bencana kepada mereka yang kufur terhadap Baginda? Sudah orang katakan bahawa Nabi Isa a.s adalah tuhan, mestilah Baginda mampu melakukan hal yang sedemikian. Tak begitu? Walhal Nabi Isa a.s sendiri tidak pernah mengaku bahawa Baginda tuhan sebagaimana yang dirakamkan dalam surah ali-Imran: 51, "Sesungguhnya Allah itu Tuhanku dan Tuhanmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus."

Halal dan haram dapat dibezakan dengan ilmu. Konsep ini telah diketahui umum namun masih ramai yang jahil tentang perkara ini. Kenapa Allah SWT mengharamkan 'lembu pendek' (b_bi)? Beberapa penyakit dan sindrom yang sangat berbahaya menular disebabkan b_bi saban hari. Antaranya SARS yang pernah menyerang pada sekitar tahun 2000 hingga 2003, penyakit Spanish Flu yang merebak pada sekitar tahun 1960-an dan yang terbaru penyakit H1N1 yang mengorbankan hampir 3000 nyawa. Kesemua penyakit membuktikan bahawa genetik dan virus yang disebarkan adalah berpunca daripada b_bi. Namun, kenapa sehingga sekarang orang kafir masih tidak sedar2 bahawa Islam adalah manhaj yang sebenar? Kenapa dalam banyak2 makanan yang halal tetapi b_bi juga yang menjadi selera mereka? Sejuta dihalalkan dan satu diharamkan tetapi kenapa mereka mahu makanan yang diharamkan itu juga? Misalnya, kita pergi ke warung kopi atau kedai mamak, kita boleh memilih hampir 10 jenis teh, tetapi kenapa arak juga yang menjadi pilihan? Cakap saja teh 'O', teh ais, teh kurang manis, teh tarik, teh ginseng, teh limau dan macam2 lagi. Belum lagi dipilihnya minuman lain seperti sirap yang boleh terbahagi kepada pelbagai jenis sirap lagi tetapi kenapa arak juga yang dipilih? Wallahua'lam.

Kesimpulannya, ilmu yang dipelajari dapat memberi kepentingan dan hasil yang positif kepada kita. Seharusnya kita menyanjung tinggi ilmu dan cuba untuk mengejarnya. Tegas Imam Syafi'e , "Carilah ilmu sepertimana seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya." Ilmu amat penting dalam perkembangan Islah, Islam dan dakwah yang diwajibkan ke atas kita. Maka, "Berjihadlah untuk mencari ilmu," kata penceramah unggul, yang berbahagia Ustaz Shahul Hameed.

Formula ' T ' :

(1) Taat jangan maksiat
(2) Ingat jangan lupa
(3) Syukur jangan kufur

Taqwa merupakan suatu benda besar mengikut Abdullah ibnu Mas'ud r.a. seperti yang dinyatakan di atas. Ketaatan kepada Allah wa Rasulullah perlu dilaksanakan secara menyeluruh yakni meliputi qolbi, qauli wa fi'li. Teringat pada firman Allah SWT, "Wahai orang2 yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya padahal kamu mendengar (perintah2-Nya)," (al-Anfal : 20). Kerjakanlah solat, berpuasa serta memperbanyakkan zikrullah dengan mendalami maksudnya agar hati kita tidak lalai daripada mengingati Allah SWT. Nikmat yang diberikan harus disyukuri dan dimanfaatkan ke arah mengerjakan amalan2 ketaatan kepada-Nya.

Ketahuilah sahabat, bahawa terdapat 3 pembelajaran yang wajib yakni tauhid dan akidah, fekah serta tasawwuf di samping kita mengejar ilmu2 yang lain di abad ini. Isilah masa lapang dengan sebaik2nya. Sesungguhnya, Rasulullah SAW bersabda, " Dua nikmat yang ramai manusia sia2kan ialah kesihatan dan waktu lapang," (Hadis Riwayat Tarmizi).

Oleh : Muhamad Shafiq bin Khairollah

Tuesday, November 3, 2009

-Akademi Dakwah 2009-

Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dengan kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) akan menganjurkan program realiti sebenar dakwah di lapangan masyarakat pada 30 November 2009 hingga 13 Disember 2009. Selama 2 minggu ini, para peserta akan didedahkan tentang selok-belok dakwah di lapangan dengan menampilkan konsep dakwah yang lebih meluas serta kritikal.

Diberi nama Akademi Dakwah, program ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti dakwah di lapangan secara terancang dan terfokus. Para peserta haruslah berumur di antara 19 hingga 30 tahun sahaja dan yuran yang dikenakan hanyalah RM70.00 sahaja.

Program ini akan diadakan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Bertemakan serangan pemikiran, kepenggunaan, alam sekitar, gejala sosial, masyarakat minoriti dan dakwah dalam penulisan, program ini akan memberi pengalaman baru kepada para peserta dalam menghayati erti dakwah melalui pengisian oleh pakar-pakar dalam bidang dakwah yang disebutkan tadi.

Berikut merupakan sedikit penerangan tentang tema-tema dakwah dalam AD09:

Serangan Pemikiran

Melibatkan dakwah dalam mengislahkan kembali pemikiran masyarakat di Malaysia yang diserang secara halus terutamanya oleh dakyah sesat fahaman Islam Liberal. Para peserta akan didedahkan secara ekslusif tentang fahaman sesat Islam Liberal dan konsep-konsep pemikiran lain yang ternyata bertentangan dengan Islam. Pemikiran-pemikiran sebegini melambak di dalam kosmo hidup masyarakat sehingga aqq (benar) dan bail (palsu) menjadi kabur di kacamata masyarakat Islam khususnya di Malaysia.

Kepenggunaan

Malaysia merupakan antara negara yang tertinggi jumlah pembelian dan penggunaan barangan komersil dalam kategori negara membangun. Hal ini tidak dapat tidak akan mendedahkan pengguna Muslim terutamanya kepada barang-barangan yang tidak halal serta memudharatkan tubuh badan. Di samping itu juga, pelaburan dan pengaliran wang yang tidak selari dengan Syari‘ah menyebabkan keberkatan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam di Malaysia hilang secara tidak sedar. Pendedahan kepada dakwah kepengunaan akan memberi input yang sangat kritikal dan berguna kepada para peserta.

Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan ciptaan Allah SWT dan amanah kepada manusia di dunia untuk memelihara dan mengurus sumber bumi secara lestari berdasarkan prinsip-prinsip al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kepincangan ma‘na pembangunan, kerakusan nafsu pemaju, kehilangan sifat prihatin masyarakat, kematian rasa kehambaan kepada Tuhan, antara faktor yang memungkinkan masyarakat tidak endah kerosakan alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka saban hari. Di dalam AD09, para peserta akan didedahkan tentang dakwah alam sekitar yang merupakan keperluan terpenting demi menyelamatkan kelestarian pengurusan pembangunan berasaskan konsep hamba dan khalifah.

Gejala Sosial

Jiwa remaja yang sering mencuba segala keseronokan menyebabkan berlakunya kepincangan akhlak yang mengheret mereka ke kancah kemaksiatan yang serius. Lambakan isu-isu semasa yang berkaitan dengan gejala sosial memberikan satu tamparan hebat kepada kesemua gerakan Islam di Malaysia dalam mempertahankan ‘Aqidah dan Syari‘ah masyarakat yang kian terhakis. Pendedahan langsung di lapangan masyarakat akan membuka mata para peserta dalam memahami dan menghayati punca utama kesuburan gejala sosial di Malaysia dan langkah terbaik dalam mempertahankan akhlak dalam diri setiap ahli masyarakat.

Masyarakat Minoriti

Masyarakat minoriti di Malaysia terutama masyarakat orang asli kurang dititikberatkan oleh gerakan dakwah akibat kos yang terlalu tinggi dan kemahiran dakwah yang konsisten di dalam situasi yang sangat mencabar. Pendakian bukit serta halangan lain antara pengalaman baru yang akan dirasai oleh para peserta dalam merealisasikan dakwah kepada masyarakat orang asli yang rata-ratanya adalah bukan Islam. Cabaran dan ujian yang bakal dihadapi oleh para peserta akan memberikan satu impak dan semangat dakwah yang kental dalam menyampaikan risalah kebenaran – warisan para Nabi dan Sahabat.

Dakwah Dalam Penulisan

Penulisan merupakan elemen dakwah yang paling penting. Penulisan akan kekal walaupun si penulisnya telah tiada. Keberkesanan penulisan dakwah dapat memberikan ruang dakwah yang optimum di samping penyebaran pengisian dakwah yang lebih meluas.. Para peserta akan diajar untuk menghasilkan penulis yang lebih sistematik dan berkesan. Malah, para peserta akan diberi peluang untuk mempersembahkan penulisan masing-masing di dalam beberapa ruang penulisan semasa yang terpilih.

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saudari Azwaahidah (019-5989382 / paspertama_86@yahoo.com.my) atau saudara Amir (013-7069509 / api_penang@yahoo.com.my) dengan segera. Tempat adalah terhad kepada 30 peserta terawal.


Tuesday, October 27, 2009

Jamuan Mahabbah Eidulfitri



Pada 28 Syawal 1430 Hijrah bersamaan dengan 17 October 2009 yang lepas, Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) telah mengadakan Jamuan Mahabbah Eidulfitri (JME) bertempat di kelas kafa Masjid Negeri yang dihadiri oleh 50 orang mewakili persatuan ataupun wadah dalam JUNDIYY. Antara tujuan JME diadakan adalah untuk mengeratkan ukhwah sesama wadah disamping perkongsian ilmu yang telah disampaikan oleh Ust Hafiz Nordin yang merupakan Naib Yang diPertua Persatuan Ulama Malaysia Negeri Pulau Pinang. JME dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah as-Saff bermula dari ayat 1-9 oleh Ust Latiff dari USM. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi JUNDIYY iaitu saudara Ahmad Zhafri b. Md Noor. Sepanjang ucapannya, beliau menyentuh tentang sejarah penubuhan JUNDIYY yang telah ditubuhkan pada tahun 2007 dahulunya dikenali sebagai Sekretariat Bring Islam Back (SBIB) dan selepas itu diberi nama Sekretariat Bertindak Aktivis Muslim (SBAM) sebelum ditukarkan kepada Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY). JUNDIYY mula ditubuhkan di An Nahdhoh Inn Kubang Semang, Pulau Pinang dengan jumlah keahlian pada ketika itu seramai 18 orang. Idea penubuhan sebuah ikatan antara wadah di Pulau Pinang ini telah dicetuskan oleh Mohd Akmal bin Abdul Aziz yang merupakan siswa dari Universiti Malaya pada ketika itu. Pengerusi pertama Shamsul Ery bin Shamsudin, selepas itu SBIB pada ketika itu diteraju pula oleh Izzat Anwari Hasni dari USM dan pengerusi JUNDIYY sekarang ialah Ahmad Zhafri bin Mohd Noor yang merupakan siswa dari Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Pulau Pinang.

Antara objektif penubuhan JUNDIYY adalah untuk mewujudkan kesatuan antara wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY bagi mendepani isu-isu semasa secara bersama terutama isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Perlu diingatkan JUNDIYY bukanlah merupakan satu organisasi, tetapi merupakan satu ikatan antara wadah-wadah dakwah di Pulau Pinang. Setiap wadah bebas untuk menyertai JUNDIYY ataupun tidak, bebas untuk keluar daripada JUNDIYY setelah menyertai JUNDIYY ataupun bebas untuk menyatakan sebarang bantahan ataupun ketidaksetujuan terhadap sebarang keputusan ataupun pandangan yang dikeluarkan oleh MT dan exco JUNDIYY.

Selain dari itu, Pengerusi JUNDIYY dalam ucapannya menyeru kepada semua wadah yang ada dibawah JUNDIYY supaya terus istiqamah dalam perjuangan dan usah futur dalam Indusrtri Dakwah ini, sepertimana firman Allah dalam surah as-Saff ”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu bentuk perniagaan/perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (QS 61:10-11)

Majlis JME diteruskan dengan ceramah yeng telah disampaikan oleh Ustaz Hafiz Nordin. Beliau menerangkan tentang bahaya orang Islam yang berfikiran Islam Liberal, dari segi agama, fahaman liberalisme ini dianggap amat merbahaya, terutamanya bagi Islam. Konsep liberal berhubung kait dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang tanpa menjadikan al-Quran & as-Sunnah sebagai rujukan utama. Maknanya orang yang berfahaman Islam Liberal melihat Agama sebagai hak peribadi dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif kemasyarakatan tidak menjadi teras pegangan. Prinsip untung rugi menjadi sandaran dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut. Melalui pemahaman itulah terbitnya kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan. Umpamanya, sedikit masa dahulu kita di “perkenalkan” dengan ungkapan “seks sebagai sedekah”, “dosa dan pahala tidak bercampur, ianya seperti lapisan minyak dan air”, “seseorang itu boleh melakukan dosa kerana selepasnya boleh bertaubat,”, “dosa masing-masing”, “duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak menyalahi peraturan sampai bila-bila selagi tidak berlaku pergaduhan” dan sebagainya. Prinsip itu berkembang dan membudayakan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, nilai-nilainya semakin berkembang di kalangan masyarakat Islam.

Dalam hubungan sosial, liberalism memberikan makna ke atas prinsip kesamarataan dan ini merupakan salah satu perjuangan pendukung kuat fahaman Islam liberal di Malaysia iaitu Sister In Islam (SIS). Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan kaum feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini seterusnya membawa kepada terlahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan dalam Islam. Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak atau kilang bayi.

Sebenarnya banyak input yang telah disampaikan oleh Ust Hafiz Nordin semasa JME yang lepas, antara lain beliau menyebut dan menghuraikan tentang Jihad dan Pengorbanan. JME di akhiri dengan sedikit jamuan yang telah disediakan oleh para AJK. Semoga JME yang telah diadakan bukanlah dilihat sebagai majlis jamuan raya semata-mata, tetapi lebih daripada itu, penyatuan dan ukhuwah dalam wadah itu yang lebih penting..

Sekian...




Wednesday, October 14, 2009

-JME 2009-

Sunday, October 4, 2009

-The Sin of Inaction-



Saya ingin mengajak anda untuk mengingati sebuah dialog yang diselitkan dalam filem Matrix Revolution. Terlepas dari sebarang kontroversi, isu di sebalik filem ini, tidak ada salahnya jika saya memetik dialog salah seorang tokoh utama bernama Morpheus. Dia mengatakan “There is different between knowing the path and walking the path”. Sangatlah berbeza antara orang yang mengetahui suatu jalan dengan orang yang menapaki jalan tersebut. Tidaklah sama darjatnya, antara orang yang mengetahui sebuah ilmu dengan hamba yang mengamalkan ilmu pengetahuannya.

Mengetahui saja, sama sekali tidak mencukupi. Kita harus merealisasikan apa yang kita ketahui. Kita mengetahui apa itu definisi tentang kehidupan yang baik. Tapi pengetahuan tersebut tidak semestinya membuatkan kualiti hidup kita menjadi lebih baik. Kita mengetahui apa itu kebenaran tapi sekali lagi tidak cukup hanya dengan mengetahuinya. Kita wajib mengetahui, mengikuti, menegakkan dan bergabung bersama kebenaran itu sendiri.

Di dunia ini, tak kurang jumlahnya orang-orang yang memiliki pengetahuan, tapi apakah dunia menjadi lebih baik, hanya dengan itu? Dunia berubah ketika orang yang berpengetahuan melakukan sesuatu berdasarkan pengetahuannya.

Dalam sebuah kalimatnya, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, “Di dunia ini, dari banyaknya jumlah manusia, hanya sedikit saja yang beragama Islam. Dari mereka yang beragama Islam, jauh lebih sedikit yang berjuang. Dari sedikit yang berjuang jauh lebih sedikit yang bersabar. Dan dari sedikit yang bersabar itu, hanya sedikit saja dari mereka yang sampai ke akhir perjalanan.”

Sangat jelas perbezaan antara orang-orang yang mengetahui dengan mereka yang merealisasikan pengetahuannya. Dunia berubah kerana orang-orang yang bergerak. Semesta pun terus bergerak untuk menjaga kestabilannya. Bayangkan apabila semesta ini tiba-tiba berhenti bergerak? Akan terjadi kehancuran yang tidak terperi.

Kerananya, diam tak selalu emas. Diam juga bisa berubah menjadi dosa. Kerana dengan diamnya sesuatu menjadi hancur. Kerana dengan diamnya sesuatu menjadi rosak. Saat itulah kita bisa menyebutnya sebagai ‘The Sin of Inaction’. Dosa kerana tidak berbuat apa-apa.

Selama ini, kita sering beranggapan bahawa sikap pasif, minimal berbuah neutral. Tidak berdosa seseorang jika ia tidak melakukan sebuah perbuatan dosa. Tapi rupanya tak selalu demikian.

Kiai Haji Achmad Dahlan tahu benar ertinya ‘The Sin of Inaction’. Dosa kerana tidak melakukan apa-apa. Ia membaca dengan pertanyaan sekaligus peringatan Allah dalam surah Al-Ma’un.” Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Mereka adalah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak memberi makan kepada orang miskin. Maka, celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya orang-orang yang berbuat riya' dan enggan menolong dengan barang yang berguna” (al Ma’un: 1-7)

Ia tidak ingin disebut sebagai orang yang mendustakan agama. Siapa mereka yang mendustakan agama? Mereka adalah orang-orang yang tak berbuat! Orang-orang yang tidak memberi makan kaum papa, orang-orang yang tak memberikan pertolongan dengan barang-barang berguna. Merekalah pendusta agama. Orang-orang yang berdiam diri. Orang-orang yang memberikan kezaliman berdiri dengan angkuh. Orang-oarang yang tidak ambil peduli dengan kemaksiatan yang terjadi.

Kerana itulah, Kiai Haji Achmad Dahlan mendirikan Muhammadiyyah. Ia menolak disebut sebagai pendusta agama. Dengan Muhammadiyyah, insya-Allah kelak beliau akan berdiri gagah di depan Tuhannya, bersaksi tentang apa yang telah diperbuatnya untuk rakyat Indonesia. Ia mencerdaskan manusia. Ia memberi makan saudaranya, ia melindungi kaum yang lemah.

Betapa banyak yang menuntut kita bergerak, hari ini, rakyat Indonesia lemah dan dilemahkan. Saudara kita di Palestina, perlukan pertolongan. Muslim di Darfur, menanti kita berbuat sesuatu. Ratusan ribu pelarian yang keluar dari Iraq menyelamatkan diri, sampai ke hari ini masih terus menanti. Chechnya, Kashmir dan Kosovo menunggu untuk kita membantu mereka.

Apakah kita mampu melihat? Alangkah berdosanya kita jika tidak melakukan sesuatu!

Oleh: Herry Nurdi (Majalah Sabili)

-Simposium Bring Islam Back 2009-

“ Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” (as-Saff: 4). Begitulah antara petikan firman Allah SWT dalam kitab-Nya yang mulia yang menekankan peri pentingnya penyatuan antara individu-individu seterusnya membentuk penyatuan yang seterusnya menggempur misi menegakkan Daulah Islamiyyah.

Namun satu persoalan yang mungkin kebanyakan daripada penggerak dakwah terlepas pandang, adakah mereka benar-benar ‘berkeupayaan “ untuk berdakwah kepada masyarakat sedangkan mereka tidak memahami realiti yang melanda masyarakat ? Salah satu daripada ciri-ciri pendakwah yang baik ialah pendakwah yang mampu berdakwah mengikut “bahasa” orang tempatan ataupun “uruf” tempatan .

Mengambil ibroh daripada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang berdakwah mengikut keadaan setempat di mana dakwah baginda diterima oleh kebanyakan hamba, golongan miskin, orang yang tertindas dan orang bawahan yang menjadi suatu golongan minoriti yang dihina pada awal kerasulan baginda sebelum dilebarkan dakwah baginda kepada golongan pertengahan dan pemimpin.

Pendekatan baginda ini diikuti oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna yang berdakwah mengikut keadaan setempat yang pada masa itu begitu asyik dengan nikmat dunia yang sementara. Kaedah ini ternyata berjaya menambat hati ramai golongan sasar (mad’u) seterusnya menjadikan pertubuhan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan yang disegani dan menjadi rujukan kepada harakah-harakah Islam yang bertebaran di seluruh dunia.

Program ini diharap agar mampu memberi sesuatu impak kepada para penggerak berkenaan “world view” pendakwah itu sendiri agar melihat perspektif dakwah dalam ruang lingkup yang serba luas dan berpijak di bumi realiti. Baginda SAW bersabda “Sesiapa yang tidak mempedulikan nasib kaum muslimin, dia bukanlah dari kalangan mereka” (Riwayat Baihaqi). Sudah semestinya, sebagai seorang pendakwah sewajarnya mengambil hadis ini sebagai panduan, insya-Allah.

Template by:
Free Blog Templates