Tuesday, October 27, 2009

Jamuan Mahabbah Eidulfitri



Pada 28 Syawal 1430 Hijrah bersamaan dengan 17 October 2009 yang lepas, Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) telah mengadakan Jamuan Mahabbah Eidulfitri (JME) bertempat di kelas kafa Masjid Negeri yang dihadiri oleh 50 orang mewakili persatuan ataupun wadah dalam JUNDIYY. Antara tujuan JME diadakan adalah untuk mengeratkan ukhwah sesama wadah disamping perkongsian ilmu yang telah disampaikan oleh Ust Hafiz Nordin yang merupakan Naib Yang diPertua Persatuan Ulama Malaysia Negeri Pulau Pinang. JME dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah as-Saff bermula dari ayat 1-9 oleh Ust Latiff dari USM. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi JUNDIYY iaitu saudara Ahmad Zhafri b. Md Noor. Sepanjang ucapannya, beliau menyentuh tentang sejarah penubuhan JUNDIYY yang telah ditubuhkan pada tahun 2007 dahulunya dikenali sebagai Sekretariat Bring Islam Back (SBIB) dan selepas itu diberi nama Sekretariat Bertindak Aktivis Muslim (SBAM) sebelum ditukarkan kepada Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY). JUNDIYY mula ditubuhkan di An Nahdhoh Inn Kubang Semang, Pulau Pinang dengan jumlah keahlian pada ketika itu seramai 18 orang. Idea penubuhan sebuah ikatan antara wadah di Pulau Pinang ini telah dicetuskan oleh Mohd Akmal bin Abdul Aziz yang merupakan siswa dari Universiti Malaya pada ketika itu. Pengerusi pertama Shamsul Ery bin Shamsudin, selepas itu SBIB pada ketika itu diteraju pula oleh Izzat Anwari Hasni dari USM dan pengerusi JUNDIYY sekarang ialah Ahmad Zhafri bin Mohd Noor yang merupakan siswa dari Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Pulau Pinang.

Antara objektif penubuhan JUNDIYY adalah untuk mewujudkan kesatuan antara wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY bagi mendepani isu-isu semasa secara bersama terutama isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Perlu diingatkan JUNDIYY bukanlah merupakan satu organisasi, tetapi merupakan satu ikatan antara wadah-wadah dakwah di Pulau Pinang. Setiap wadah bebas untuk menyertai JUNDIYY ataupun tidak, bebas untuk keluar daripada JUNDIYY setelah menyertai JUNDIYY ataupun bebas untuk menyatakan sebarang bantahan ataupun ketidaksetujuan terhadap sebarang keputusan ataupun pandangan yang dikeluarkan oleh MT dan exco JUNDIYY.

Selain dari itu, Pengerusi JUNDIYY dalam ucapannya menyeru kepada semua wadah yang ada dibawah JUNDIYY supaya terus istiqamah dalam perjuangan dan usah futur dalam Indusrtri Dakwah ini, sepertimana firman Allah dalam surah as-Saff ”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu bentuk perniagaan/perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (QS 61:10-11)

Majlis JME diteruskan dengan ceramah yeng telah disampaikan oleh Ustaz Hafiz Nordin. Beliau menerangkan tentang bahaya orang Islam yang berfikiran Islam Liberal, dari segi agama, fahaman liberalisme ini dianggap amat merbahaya, terutamanya bagi Islam. Konsep liberal berhubung kait dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang tanpa menjadikan al-Quran & as-Sunnah sebagai rujukan utama. Maknanya orang yang berfahaman Islam Liberal melihat Agama sebagai hak peribadi dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif kemasyarakatan tidak menjadi teras pegangan. Prinsip untung rugi menjadi sandaran dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut. Melalui pemahaman itulah terbitnya kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan. Umpamanya, sedikit masa dahulu kita di “perkenalkan” dengan ungkapan “seks sebagai sedekah”, “dosa dan pahala tidak bercampur, ianya seperti lapisan minyak dan air”, “seseorang itu boleh melakukan dosa kerana selepasnya boleh bertaubat,”, “dosa masing-masing”, “duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak menyalahi peraturan sampai bila-bila selagi tidak berlaku pergaduhan” dan sebagainya. Prinsip itu berkembang dan membudayakan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, nilai-nilainya semakin berkembang di kalangan masyarakat Islam.

Dalam hubungan sosial, liberalism memberikan makna ke atas prinsip kesamarataan dan ini merupakan salah satu perjuangan pendukung kuat fahaman Islam liberal di Malaysia iaitu Sister In Islam (SIS). Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan kaum feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini seterusnya membawa kepada terlahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan dalam Islam. Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak atau kilang bayi.

Sebenarnya banyak input yang telah disampaikan oleh Ust Hafiz Nordin semasa JME yang lepas, antara lain beliau menyebut dan menghuraikan tentang Jihad dan Pengorbanan. JME di akhiri dengan sedikit jamuan yang telah disediakan oleh para AJK. Semoga JME yang telah diadakan bukanlah dilihat sebagai majlis jamuan raya semata-mata, tetapi lebih daripada itu, penyatuan dan ukhuwah dalam wadah itu yang lebih penting..

Sekian...




0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates